Lelaki ditemui maut dalam kenderaan 4WD disyaki bunuh diri - Polis

Abd Razak Mohd Ali
November 3, 2024 07:50 MYT
Seorang lelaki warga tempatan ditemui maut dalam sebuah 4WD yang terkunci dari dalam, di Taman Hillpark Waterfront, Bandar Lahat Mines, dekat Ipoh, pagi semalam. - Foto JBPM Perak
IPOH: Seorang lelaki yang ditemui meninggal dunia dalam kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Taman Hillpark Waterfront, Bandar Lahat Mines, dekat sini, pagi semalam, disyaki membunuh diri.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Ahmad berkata, mangsa seorang warga tempatan berumur 42 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu tanpa kecederaan pada tubuhnya.
Susulan itu, katanya, si mati telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini bagi tujuan bedah siasat untuk mendapatkan punca kematian.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati si mati telah membunuh diri dengan melemaskan diri dengan asap di dalam kenderaan yang dikunci dari dalam,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Tambahnya, tiada sebarang unsur jenayah di tempat kejadian dan pada tubuh si mati.
Sehubungan itu, katanya, kes diklasifikan sebagai mati mengejut (SDR) dan pihak polis sedang melengkapkan siasatan di samping menunggu laporan bedah siasat.
Justeru, kata Abang Zainal Abidin, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan yang melampaui undang-undang dan tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelakkan kekeliruan serta kegusaran masyarakat.
Terdahulu, seorang lelaki ditemui maut dalam sebuah 4WD yang terkunci dari dalam, di Taman Hillpark Waterfront.
Lelaki ditemukan meninggal dunia dalam kenderaan 4WD
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian melibatkan mangsa itu kira-kira jam 11.36 pagi.
“Setibanya di lokasi, didapati pintu kenderaan jenis Mitsubishi Triton terkunci, yang melibatkan seorang mangsa,” katanya.
Menurutnya, ketua operasi mengarahkan anggota membuka pintu kereta terkunci yang disaksikan oleh petugas perubatan dan polis, dengan menggunakan peralatan khas.
Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nizam Abdul Manaf tamat jam 12.35 tengah hari.
#maut dalam 4WD #Taman Hillpark Waterfront #JBPM Perak #Ipoh
;