Lelaki ditemui mati di tanah perkuburan
Nur Fazlizai Ali
Januari 22, 2023 06:00 MYT
Januari 22, 2023 06:00 MYT
KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di atas wakaf Tanah Perkuburan Islam Panji Alam, Kuala Terengganu pada Ahad.
Mangsa yang dianggarkan berusia sekitar 50-an itu dijumpai pengutip kotak yang melalui kawasan berkenaan.
Menurut saksi, Mohd Faizol Taib, 38 tahun, ketika melalui jalan berkenaan kira-kira jam 5 petang, dia melihat mangsa terbaring di atas wakaf.
Mohd Faizol berkata, dia menyangkakan mangsa sedang tidur dan cuba mengejutkannya beberapa kali.
"Saya datang ke sini petang tadi, ingat nak kejutkan dia, nak tengok dia sihat atau tidak. Rupanya dia sudah tiada," katanya.
Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Zaki Wan Ismail ketika dihubungi berkata, hasil pemeriksaan awal pada badan mangsa tidak menemui kesan jenayah.
Katanya mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.
Jelasnya lagi kes diklasifikan sebagai mati mengejut.