Lelaki ditemui mati dalam tahanan polis

Bernama
Mei 26, 2013 19:05 MYT
Seorang lelaki dalam tahanan polis ditemui mati dalam lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini hari ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Nasir Mohd Salleh berkata R. Jamesh Ramesh, 40, ditemui mati oleh anggota polis pada sebelah pagi.
"Pada pukul 10.30 pagi tadi anggota polis memanggil suspek untuk dibawa ke mahkamah bagi tujuan reman. Pada masa itu didapati mangsa sudah tidak sedarkan diri.
"Polis memanggil pihak ambulans Hospital Pulau Pinang dan pegawai perubatan telah mengesahkan kematian suspek," katanya pada sidang akhbar di sini.
Beliau berkata suspek yang dipercayai penagih dadah tegar itu ditahan polis dari cawangan narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut semalam di hadapan Balai Raya, Jalan Patani di sini selepas ujian air kencing mendapatinya positif dadah jenis morfin.
Nasir berkata lelaki penganggur itu pernah ditahan atas kesalahan dadah dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan samun.
Kes itu diklasifikasi sebagai kematian mengejut dan mayat lelaki terbabit dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat, katanya.
#ACP Nasir #bunuh #George Town #lokap #polis
;