Lelaki ditemui lemas selepas dihanyutkan kepala air sungai

Bernama
Oktober 11, 2017 19:52 MYT
Mayat Zamri Abdullah, 44, ditemui di kawasan berdekatan lokasi kejadian dalam keadaan tersangkut pada celah batu di sungai tersebut. - Gambar hiasan
Seorang lelaki yang dihanyutkan 'kepala air' atau arus deras Sungai Kenerong di Dabong, Kuala Krai semalam, ditemui mati lemas hari ini.
Mayat Zamri Abdullah, 44, ditemui di kawasan berdekatan lokasi kejadian dalam keadaan tersangkut pada celah batu di sungai tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata mangsa dijumpai kira-kira 11.35 pagi oleh sepasukan anggotanya yang menyambung semula operasi mencari pada 10.40 pagi.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Klinik Kesihatan Dabong sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini.
Dalam kejadian 2 petang semalam, mangsa dikatakan ke sungai berkenaan bersama isteri dan adiknya untuk mencari batu sungai bagi dijadikan batu nisan di pusara ibunya yang meninggal dunia tiga hari sebelum itu.
Mangsa, bagaimanapun tiba-tiba dihanyutkan kepala air manakala isteri dan adiknya terselamat.
-- BERNAMA
#kepala air #lemas #maut #Sungai
;