Lelaki ditemui lemas selepas berkayak

Sinar Harian
Januari 15, 2022 13:25 MYT
Mayat mangsa dibawa ke Jeti Batu Musang sebelum diserah kepada Balai Polis Batu Kawan untuk tindakan lanjut. - Foto Sinar Harian
GEORGE TOWN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika berkayak di perairan Batu Kawan ditemui lemas di 3.0 batu nautika berhampiran Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed, berkata mayat Tony Liew, 48, dari Taman Alma Bukit Mertajam ditemui dalam keadaan terapung kira-kira jam 8.35 malam pada Jumaat.
Menurutnya, Maritim Malaysia menerusi Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Langkawi menerima laporan berhubung kehilangan lelaki itu pada jam 7.20 petang.
"Sejurus menerima laporan, operasi mencari dan menyelamat segera diaktifkan dengan mengatur gerak bot Kilat 4 ke lokasi bagi melakukan pencarian.
"Maklumat awal rakan mangsa mendakwa dia cuba menghubunginya namun gagal sebelum menemui kayak yang dinaiki mangsa dalam keadaan terbalik di perairan Batu Kawan, pada jam 6 petang namun mangsa tidak ditemui," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Abd Razak berkata, operasi mencari mangsa turut membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Pasukan Polis Marin Batu Uban dan rakan mangsa yang turut berkayak di sekitar kawasan itu.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Batu Musang sebelum diserahkan kepada Balai Polis Batu Kawan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Abd Razak menasihatkan agar orang ramai agar menitikberatkan keadaan semasa laut serta cuaca terkini sekiranya ingin melakukan sebarang aktiviti rekreasi di laut dan perlu dilakukan secara berkumpulan bagi memastikan keselamatan sentiasa terjamin.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN
#Lelaki lemas #berkayak #Jambatan Pulau Pinang #batu kawan
;