Lelaki ditahan serang, cuba bunuh Koperal guna kapak
Aida Aziz
Oktober 17, 2023 07:00 MYT
Oktober 17, 2023 07:00 MYT
GERIK: Seorang lelaki ditahan setelah menyerang dan cuba membunuh anggota polis berpangkat Koperal dengan kapak di kawasan kebun sawit Felda Bersia, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, kejadian itu berlaku ketika dua anggota polis iaitu Koperal dan Lans Koperal dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah Gerik menjalankan Operasi Tapis di lokasi tersebut.
Setelah itu katanya, mereka terserempak dengan suspek berusia 31 tahun sedang menunggang motosikal jenis Honda EX5, sekitar jam 12 tengah hari.
"Suspek memberhentikan motosikalnya lalu turun dengan membawa sebilah kapak yang dipegang di tangan kanan dan sebilah parang di tangan kiri.
"Selepas itu, suspek bertindak membuang parang ke tanah dan terus berlari ke arah anggota polis lalu menyerang polis berpangkat Koperal menggunakan kapak.
"Koperal itu cuba menangkap suspek tetapi dia bertindak agresif dengan melibas kapak ke arahnya sehingga mendapat kecederaan di bahu kanan dan bengkak di kepala," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Zulkifli berkata, anggota polis tersebut kemudiannya bertindak mempertahankan diri dengan melepaskan tembakan ke kaki suspek.
"Semasa hendak melakukan tangkapan, suspek tidak memberi kerjasama dengan cuba melarikan diri dan telah berlaku pergelutan.
"Setelah suspek berjaya ditangkap, hasil pemeriksaan ke atas badan suspek telah menjumpai satu paket lutsinar berisi cebisan tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja.
"Dan dua keratan straw berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine di dalam poket seluar hadapan sebelah kiri," katanya.
Justeru katanya, pihak polis telah membawa suspek ke Klinik Kesihatan Bersia yang kemudiannya dirujuk ke Hospital Gerik dan akhirnya dirujuk ke Hospital Taiping bagi menerima rawatan susulan.
Manakala anggota polis berkenaan telah mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Bersia.
Ujarnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(2)/ 6 Akta Dadah Berbahaya 1953.