Lelaki ditahan pecah pintu, tingkap rumah bekas kekasih kerana putuskan hubungan

Bernama
September 26, 2024 22:40 MYT
Suspek yang merupakan pengganggur ditahan di Petaling Jaya pada 5.50 petang semalam dan mendapati dia mempunyai 13 rekod jenayah lampau. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan semalam kerana menceroboh dan memecahkan pintu kaca serta tingkap rumah didiami bekas kekasihnya dipercayai kerana wanita itu memutuskan hubungan mereka.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata kejadian tersebut berlaku pada 1.30 tengah hari, 18 Sept lepas ketika mangsa berusia 24 tahun itu berada di biliknya di Taman Melawati, Ampang, Selangor dan terdengar tingkap biliknya dibaling batu.
"Apabila diperiksa, didapati lelaki berusia 31 tahun itu berada di kawasan rumahnya yang kemudian bertindak memecahkan pintu kaca di belakang rumah menggunakan dumbel sambil menjerit nama bekas teman wanitanya itu.
"Mangsa bertindak menyembunyikan diri dalam tandas di biliknya sambil menghubungi polis. Pada masa yang sama suspek cuba memecahkan pintu bilik mangsa dengan menendang dan menggunakan dumbel berkenaan namun gagal," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata suspek kemudian menyelinap masuk melalui balkoni serta memecahkan tingkap bilik pengadu sambil mengugut untuk memukul wanita itu jika mangsa enggan keluar sebelum beredar.
Mohd Azam berkata suspek yang merupakan pengganggur ditahan di Petaling Jaya pada 5.50 petang semalam dan mendapati dia mempunyai 13 rekod jenayah lampau.
"Suspek direman empat hari hingga Ahad dan kes disiasat mengikut Seksyen 427, Seksyen 448 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
"Motif kejadian kerana mangsa tidak mahu meneruskan hubungan cinta dengan lelaki itu yang baru terjalin kira-kira tiga bulan," katanya menambah anggaran kerosakan rumah milik bapa mangsa akibat kejadian itu kira-kira RM20,000.
-- BERNAMA
#polis #ceroboh rumah #bekas kekasih #rekod jenayah
;