Lelaki ditahan langgar MPV polis
Bernama
Jun 29, 2024 22:48 MYT
Jun 29, 2024 22:48 MYT
MELAKA: Seorang lelaki ditahan selepas melanggar kereta peronda polis (MPV) di Jalan Sungai Tuang, Kuala Sungai Baru, semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata kejadian kira-kira 9.45 malam itu berlaku gara-gara lelaki berusia 44 tahun dan pasangannya berusia 25 tahun itu takut ditangkap khalwat oleh anggota unit MPV Bahagian Jenayah dan Keselamatan Komunti daerah yang melakukan rondaan cegah jenayah.
"Pasangan itu yang menaiki pacuan empat roda jenis Ford Ranger didapati berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan sunyi dan gelap.
"Dua anggota unit MPV yang melakukan rondaan kemudian menghentikan kenderaan mereka di belakang pacuan empat roda itu dengan menyalakan lampu mata arah, namun pemandunya enggan bekerjasama dan cuba melarikan diri dengan mengundurkan kenderaan itu hingga melanggar MPV itu," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata pasangan berkenaan yang berjaya ditahan selepas itu didapati bertindak sedemikian kerana takut ditangkap khalwat.
Menurut Ashari rempuhan kuat itu menyebabkan pintu hadapan MPV itu rosak dan tingkapnya pecah.
Kedua-duanya yang tidak memiliki rekod jenayah dan negatif terhadap dadah, katanya disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
-- BERNAMA