Lelaki ditahan kes ugutan jenayah ketika mesyuarat agung parti politik
Bernama
Mac 4, 2025 19:15 MYT
Mac 4, 2025 19:15 MYT
Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung ugutan jenayah semasa mesyuarat agung tahunan sebuah parti politik di Kuala Selangor, Sabtu lepas. - Foto hiasan
SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung ugutan jenayah semasa mesyuarat agung tahunan sebuah parti politik di Kuala Selangor, Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Azaharudin Tajudin berkata suspek berusia 45 tahun itu ditahan di sekitar Kuala Selangor pada 4.15 petang semalam.
"Lelaki itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita yang mendakwa telah menerima ugutan jenayah semasa menghadiri mesyuarat agung tahunan parti politik itu," katanya menerusi satu kenyataan yang disiarkan di Facebook Polis Kuala Selangor.
Azaharudin berkata kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk hadir ke balai polis berdekatan atau menghubungi bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di talian 03-3289 1222.
-- BERNAMA