Lelaki ditahan dipercayai terlibat kes kematian suri rumah
Bernama
Mei 19, 2013 23:01 MYT
Mei 19, 2013 23:01 MYT
Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes kematian seorang suri rumah yang didera suaminya di Kampung Petaling Bahagia, Jalan Puchong di sini pada Sabtu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan lewat petang Ahad di Tanah Perkuburan Kampung Bohol, Kinrara Puchong.
"Penglibatan suspek... tolong hantar mangsa ke hospital bersama suspek utama iaitu suami mangsa," katanya dalam sistem pesanan ringkas di sini Ahad.
Ku berkata polis kini masih memburu suami mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mangsa, Nurhidayah A. Ghani, 28, meninggal dunia sejurus dibawa ke wad kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 1.10 pagi, Ahad.
Suami mangsa iaitu seorang tukang masak dilapor mendera mangsa kerana mangsa menolak ajakannya untuk merujuk semula setelah mereka tidak tinggal sebumbung sejak Febuari lepas.
Pasangan itu dipercayai dalam proses perceraian.