Lelaki ditahan cuba seludup bunga api ke Indonesia

Petrus Bernard
Februari 10, 2020 05:18 MYT
Juragan yang ditahan (tengah) dibawa masuk ke Pangkalan Polis Marin Tawau bersama semua barang rampasan. - Astro AWANI
Seorang juragan lelaki berumur 51 tahun ditahan di kawasan laut pelabuhan Tawau kerana cuba menyeludup 48 batang bunga api ke negara jiran Indonesia pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menahan sebuah bot penambang yang mencurigakan sedang menghala ke Sungai Nyamuk, Indonesia.
Ketika itu, PPM Tawau sedang menjalankan Ops Gelora di kawasan berkenaan menggunakan bot PGR6 dengan kekuatan enam anggota.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata pemeriksaan awal mendapati juragan adalah warga tempatan.
"Pemeriksaan lanjut ke atas bot tersebut menemui sebuah kotak berisi 48 batang bunga api jenama Confetti Cannon disembunyikan di bahagian belakang bot yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran Indonesia untuk tujuan pasaran," katanya.
Juragan tersebut juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Jabatan Kastam untuk membawa barang larangan tersebut.
Dia seterusnya ditahan dan diiring masuk ke Pangkalan Polis Marin Tawau bersama semua barang rampasan untuk siasatan lanjut.
Jumlah kesemua barang rampasan termasuk bot dan enjin dianggarkan sebanyak RM25,480.00.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
#barang rampasan #bot penambang #bunga api #dokumen #Indonesia #Jabatan Kastam #juragan #Ops Gelora #pelabuhan #polis marin #PPM Tawau #seludup #Tawau
;