Lelaki ditahan cabul wanita di bilik sewa
Sinar Harian
Januari 13, 2022 09:50 MYT
Januari 13, 2022 09:50 MYT
KLANG: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki mencabul seorang wanita di sebuah rumah sewa di Taman Gembira di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan sekitar Klang pada jam 10 malam hari yang sama.
Menurutnya, dalam kejadian pada jam 8 pagi, mangsa berusia 25 tahun itu mendakwa suspek yang juga penyewa bilik rumah berkenaan telah masuk ke dalam biliknya dalam keadaan bertuala serta tidak berbaju.
"Lelaki itu kemudiannya mendekati mangsa dan bertindak memeluknya.
"Mangsa bertindak menolak dan menepis tangan lelaki itu lalu berlari keluar dari biliknya untuk meminta bantuan dan kemudian membuat laporan polis bagi tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Hoong Fong berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
"Suspek ditahan reman selama tiga hari bermula Rabu sehingga Sabtu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian