Lelaki ditahan bersama lebih 3kg dadah di Gelang Patah

Bernama
Jun 19, 2024 19:45 MYT
lelaki berusia 44 tahun itu ditahan pada 9.30 pagi bersama 20 paket ganja diletakkan di dalam sebuah beg galas yang dibawanya. - Gambar hiasan
ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki tempatan ditahan bersama 3,057 gram (g) dadah jenis ganja bernilai RM9,300 dalam serbuan di sekitar laluan keluar sebuah stesen minyak di Gelang Patah, di sini pada Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan berkata lelaki berusia 44 tahun itu ditahan pada 9.30 pagi bersama 20 peket ganja diletakkan di dalam sebuah beg galas yang dibawanya.
"Dalam serbuan dilakukan, polis juga menyita sebuah kereta bernilai RM88,000, sebuah motosikal bernilai RM8,000 dan wang tunai RM90. Jumlah nilai rampasan dadah dan sitaan adalah RM105,390.
"Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah manakala semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah narkotik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumarasan berkata modus operandi kegiatan sindiket berkenaan adalah dengan menjadikan beg galas sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan sindiket telah aktif beroperasi sejak Julai 2016.
Beliau berkata suspek direman selama tujuh hari bermula 14 hingga 20 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
-- BERNAMA
#Lelaki ditahan #ganja #Gelang Patah #Polis Daerah Iskandar Puteri #M Kumarasan #beg galas
;