Lelaki ditahan bersama 595kg minyak masak peket
Sinar Harian
Ogos 24, 2022 06:50 MYT
Ogos 24, 2022 06:50 MYT
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menahan seorang lelaki bersama 595 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi dalam operasi membanteras ketirisan barang kawalan pada Rabu.
Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, rampasan itu dilakukan selepas pihaknya mengesan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dipandu dalam keadaan mencurigakan menghala dari Nilam Puri ke Mulong pada jam 10.30 pagi.
"Pemeriksaan lanjut dijalankan di hadapan sebuah sekolah menengah di kawasan terbabit mendapati suspek yang berusia 30-an itu membawa bersama minyak masak dalam kotak berwarna coklat di tempat duduk penumpang belakang dan di dalam but kereta.
"Kami mengarahkan pemandu untuk mengemukakan dokumen atau maklumat berkaitan pemilikan barang kawalan itu, namun suspek gagal berbuat demikian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, sebanyak 595kg minyak masak peket bernilai RM1,487.50 telah dirampas.
Menurutnya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 10 Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tujuan siasatan lanjut atas kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Aswadi berkata, individu atau peniaga yang mempunyai niat melakukan aktiviti tidak bermoral tersebut diharap menghentikannya segera.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melakukan kesalahan ini, seterusnya akan berhadapan dengan tindakan berat serta denda yang tinggi," katanya. -Sinar Harian