Lelaki ditahan bantu siasatan ugut wanita

Bernama
November 5, 2023 05:32 MYT
Lelaki berusia 49 tahun itu ditahan pada 2.15 petang Rabu lepas di Jalan Buloh Kasap, Pekan Jambi, Segamat. - Gambar hiasan/Unsplash
JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki Rabu lepas bagi membantu siasatan mengugut seorang wanita dengan mendakwanya menjadi punca pembatalan penganjuran karnival di Simpang Renggam, dekat Kluang pada 27 Okt lepas.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata lelaki berusia 49 tahun itu ditahan pada 2.15 petang di Jalan Buloh Kasap, Pekan Jambi, Segamat.
Beliau berkata tangkapan dibuat susulan polis menerima laporan daripada mangsa pada 26 Okt lepas dengan menyatakan diugut lelaki tidak dikenali menerusi panggilan telefon.
"Lelaki itu mengatakan bahawa pengadu menjadi punca pembatalan karnival berkenaan kerana memuat naik satu video yang kemudiannya tular menerusi media sosial," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Bahrin sebelum itu, pihak Majlis Daerah Simpang Renggam telah mengeluarkan arahan pembatalan serta-merta karnival itu susulan penularan video berkenaan.
Lelaki yang memiliki satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu, katanya sedang disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan Negeri Johor.
Baru-baru ini, tular rakaman video menerusi media sosial memaparkan sekumpulan wanita dan lelaki menari ketika persembahan sebuah kumpulan muzik tempatan di karnival berkenaan yang menyebabkan arahan pembatalan karnival itu.
-- BERNAMA
#ugut wanita #Lelaki ditahan #Polis Kluang #pembatalan penganjuran karnival