Lelaki ditahan bantu siasatan kematian pemuda Orang Asli

Bernama
April 29, 2024 22:00 MYT
Polis menahan suspek di Balai Polis Sungai Koyan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Gambar hiasan
KUANTAN: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes kematian pemuda Orang Asli di Hutan Kampung Tekal, Sungai Koyan, Lipis semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Ismail Man berkata sekitar 11 pagi semalam, suspek berusia 38 tahun itu telah memandu kenderaan dan membawa mangsa berusia 22 tahun yang didakwa terkena peluru sesat ke Balai Polis Sungai Koyan.
"Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Sungai Koyan kemudiannya telah mengesahkan kematian mangsa yang berada dalam kenderaan tersebut pada 12.30 tengah hari.
"Susulan itu, polis telah menahan lelaki terbabit di balai berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Ismail berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku sekitar 1 hingga 2 pagi di Hutan Kampung Tekal, Sungai Koyan.
-- BERNAMA
#Orang Asli #Hutan Kampung Tekal #lipis #terkena peluru sesat