Lelaki diselamatkan selepas enam hari masuk hutan di Meru, alami masalah halusinasi
Abd Razak Mohd Ali
Jun 10, 2023 17:00 MYT
Jun 10, 2023 17:00 MYT
IPOH: Lelaki yang diselamatkan selepas enam hari memasuki hutan berhampiran Terminal Meru Raya, di sini awal pagi Sabtu, mengalami masalah halusinasi (Schizophrenia).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki berusia 41 tahun itu pernah dirujuk kepada doktor psikiatrik di Hospital Kuala Lumpur tahun lalu dan dalam pengawalan ubat kerana masalah tersebut.
Menurutnya, mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan menurut doktor, lelaki itu kini berada dalam keadaan stabil tetapi tekanan darahnya agak rendah kerana tidak makan selama enam hari.
“Pegawai penyiasat telah menemu bual mangsa dan dia menyatakan masuk Hutan Simpanan Meru pada Sabtu lepas kerana mahu tinggal bersendirian dan tidak suka untuk hidup bersama manusia,” katanya dalam kenyataan di sini.
Terdahulu, media melaporkan anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang memasuki hutan berhampiran Terminal Meru Raya, di sini, selepas dikatakan mengalami tekanan di tempat kerja.
Yahaya berkata, mangsa merupakan seorang anak yatim piatu yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur, seorang penganggur dan tinggal bersendirian sejak tamat SPM pada tahun 1999.
Menurutnya, mangsa dikatakan telah membeli sebilah parang di sebuah kedai untuk tujuan masuk ke dalam hutan dan tidak makan sejak masuk ke dalam hutan.
Bagaimanapun, katanya, kira-kira jam 1 pagi tadi, mangsa menghubungi pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan kerana mengalami masalah sesak nafas.
“Pihak polis telah menasihati mangsa untuk tidak melakukan perkara yang akan mendatangkan kemudaratan selepas ini.
“Mangsa mengakui faham dan berjanji tidak akan mengulangi perkara seperti itu lagi,” ujarnya.