Lelaki direman tiga hari kerana menyamar sebagai pegawai KKM

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 11, 2020 15:23 MYT
Berdasarkan hasil semakan polis suspek (tengah) mempunyai 11 rekod kesalahan jenayah lampau. - Gambar Astro AWANI
Seorang lelaki direman selama tiga hari selepas didakwa menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan memeras ugut.
Dalam kejadian pada 6.30 petang semalam, suspek bersama dua lagi rakannya menahan seorang orang awam yang sedang menunggang motosikal di Taman Kemuning, di sini.
Suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai KKM sementara dua rakannya pula menyamar sebagai anggota polis yang ingin melakukan pemeriksaan COVID-19 ke atas mangsa.
Menurut Ketua polis Daerah Kulim, Superitendan Azhar Hashim, suspek kemudiannya bertindak meragut beg sandang mangsa sebelum cuba melarikan diri.
Ketika ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri mereka terserempak dengan dua anggota polis yang sedang melakukan rondaan.
Dalam cubaan itu, dua orang daripada mereka berjaya meloloskan diri dengan menunggang motosikal manakala suspek pula gagal berbuat demikian dan ditahan.
Jelas Azhar, hasil semakan polis mendapati suspek mempunyai 11 rekod kesalahan jenayah lampau.
Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
#jenayah #Kedah #Kulim #lelaki direman #memeras ugut #menyamar #pegawai KKM
;