Seorang lelaki ditahan reman bagi membantu siasatan kerana memuat naik kenyataan yang mencemarkan nama baik dan integriti pasukan polis berikutan kejadian kemalangan pada Khamis lalu.

Lelaki berusia 24 tahun yang berasal dari Kelantan itu, dipercayai pemilik akaun Facebook dengan nama profil Tengku Badaruddin, ditahan reman selama tujuh hari bermula Jumaat.

Dia telah memuat naik satu entri di laman sosial yang berbunyi: "Gu kejadian bru jah jadi sakni mari pakat2 doa ko abam P kito-berlaku ketiko nk hambak lori mitok duit ore awam kato p kito pon xpasti. Ore kato abam2 P kito lapa bidah lapar pitih gu kiro mati syahid ko lagu mano gu.sedekoh AL-FATIHAH GU brlaku terrrr. #hambaksapabuleh."

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Taib berkata kenyataan jelik itu dilemparkan oleh suspek terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 26 April lepas.

Posting di Facebook itu berkaitan kemalangan tragis di Kilometer 223 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur keluar tol Changkat Jering, pada 26 April, mengakibatkan seorang lelaki maut dan dua anggota polis peronda cedera parah.

BACA: Pelajar kolej maut, dua anggota polis parah ketika bantu tukar tayar pancit

BACA: Polis buru pemilik akaun Facebook hina anggota polis terbabit dalam kemalangan


Jelas Mohamad, dakwaan itu ternyata bercanggah dengan niat sebenar kenderaan polis peronda yang telah berhenti di lorong kecemasan di bahu jalan, iaitu untuk membantu menukar tayar pancit mangsa sebelum dirempuh oleh sebuah lori.

“Hal ini dilaporkan oleh seorang pegawai kanan polis yang merupakan Pegawai Operasi Lebuh Raya, Zon Utara 3 yang menerima maklumat mengenai suspek yang memuat naik beberapa keping gambar di laman sosial sekitar pukul 8.30 pagi.

"Statusnya itu bermaksud - 'Kawan-kawan, kejadian baru sahaja berlaku tadi,sama-sama doakan abang polis kita-berlaku semasa nak kejar lori minta duit, orang awam bagitahu tapi kita pun tidak pasti. Orang cakap abang-abang polis kita lapar duit.kira mati syahid macam mana?.sedekah Al-fatihah kawan-kawan semua,. #kejarsampaidapat." katanya.

Justeru, Mohamad berkata, kenyataan itu didapati berniat untuk memburukkan nama baik PDRM dan berunsurkan fitnah terhadap pegawai polis yang sebenarnya sedang menjalankan tugas membantu masyarakat.

“Insiden itu menyebabkan kematian kepada pemilik kereta yang sedang dibaiki dan tiga pegawai polis tersebut turut mengalami cedera parah.

“Justeru, pegawai operasi lebuh raya itu berpendapat, pemilik akaun Facebook itu juga berniat tidak baik untuk mencemar dan menjatuhkan nama baik PDRM,” ujarnya lagi.

Pegawai tersebut telah melaporkan kes ini kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping untuk siasatan lanjut dijalankan, katanya.

“Buat masa ini, suspek akan direman sehingga 3 Mei di Pengkalan Chepa, Kelantan dan satu kertas siasatan di bawah Bahagian Jenayah Komersil Taiping akan dibuka, iaitu Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia,” tambahnya.