Lelaki direman dua hari kes bendera terbalik
Siti Nur Aqilla Omar
Mac 12, 2023 16:05 MYT
Mac 12, 2023 16:05 MYT
KULAI: Seorang lelaki warga tempatan direman selama dua hari bagi membantu siasatan kes sebuah premis perindustrian di Senai dekat sini yang didakwa memasang Jalur Gemilang secara terbalik.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, suspek berusia 45 tahun itu menyerah diri di Balai Polis Senai semalam.
"Suspek telah dibawa ke mahkamah pada hari ini untuk mendapatkan perintah reman. Perintah reman selama dua hari bermula hari ini ke atas suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963 (Penggunaan Tidak Wajar) / Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Terdahulu gambar bendera terbalik yang tular di media sosial sejak semalam itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.