Lelaki direman bantu siasatan kes dera bayi empat bulan sehingga cedera di tengkorak
Astro Awani
Oktober 5, 2019 16:43 MYT
Oktober 5, 2019 16:43 MYT
Seorang buruh kerja kontrak yang disyaki mendera bayi lelaki berusia empat bulan di sini pada Selasa lalu direman selama lima hari bagi membantu siasatan polis.
Perintah reman dikeluarkan terhadap suspek oleh mahkamah Sibu hari ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata suspek lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Rafflesia sekitar jam 10.30 pagi pada Jumaat.
"Suspek telah diperintah reman selama lima hari bagi membantu siasatan polis di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.
Tambah Stanley, suspek disyaki telah mendera mangsa sehingga mengakibatkan mangsa terpaksa menjalani pembedahan tengkorak kepala kerana mengalami pendarahan dalam otak.
Pada Khamis lalu, pengadu yang merupakan nenek mangsa telah membuat laporan polis selepas dinasihatkan oleh pihak Hospital Sibu susulan pemeriksaan imbasan CT mendapati ada unsur penderaan pada bayi tersebut.
Pada hari kejadian, bayi itu terus dikejar ke hospital oleh neneknya dan mangsa terus dirawat di Zon Merah Unit Kecemasan pada jam 12.35 tengahari Khamis.
Menurut nenek mangsa, dia mendapati cucunya dalam keadaan lemah dan terdapat kesan merah yang semakin membengkak pada dahinya.
Siasatan awal polis turut mendapati mangsa adalah anak tidak sah taraf kepada suspek dan anak perempuan pengadu yang kini bekerja sebagai pelayan restoran di Kuala Lumpur.
Kali terakhir suspek dilihat oleh anak lelaki pengadu yang berusia 20 tahun, bersama mangsa di hadapan ruang tamu sebelum bergegas pulang ke rumah kongsi pekerja tidak jauh dari tempat kejadian.
Bayi malang itu kini sedang menerima rawatan lanjut di Wad ICU Kanak-Kanak, Hospital Sibu dan keadaannya dilaporkan stabil.
Sementara itu, polis juga turut menahan seorang lagi suspek berusia 20 tahun sekitar jam 10.30 pagi Sabtu susulan siasatan lanjut yang dilakukan.
Sabit kesalahan di bawah Akta Kanak Kanak tersebut boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.
#ACP Stanley Jonathan Ringgit
#Kanak-kanak
#Ketua Polis Daerah Sibu
#Kuala Lumpur
#mahkamah
#pembedahan tengkorak
#polis
#siasatan
#Sibu