Lelaki direman bantu siasatan kebakaran 13 motosikal depan KLCC

Hilmi Malik
April 14, 2023 14:48 MYT
Keadaan 13 kenderaan yang terbakar 100 peratus pada Khamis. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 34 tahun direman sehingga 19 April ini bagi membantu siasatan berkaitan kes kebakaran 13 motosikal di ruang parkir hadapan Suria KLCC, di ibu negara pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, suspek berkenaan telah ditahan beberapa jam selepas kebakaran tersebut.
Menurutnya lagi, polis juga telah menerima 10 laporan polis berhubung kejadian itu.
"Kita juga membuat beberapa rampasan antaranya topi keledar, motosikal, sarung tangan dan juga pemetik api.
"Polis masih lagi menyiasat punca dan motif sebenar kejadian.
"Siasatan akan dibuat mengikut Sekyen 435 Kanun Keseksaan," katanya pada Jumaat.
13 motosikal terbakar, kawasan KLCC diselubungi asap hitam
Beliau dalam masa sama menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan.
Semalam, bomba melaporkan empat motosikal jenis skuter antara 13 kenderaan yang terbakar 100 peratus sebaik tiba di lokasi kejadian.
Seramai 15 anggota dengan kekuatan tiga jentera bomba dari Balai Tun Razak dan Keramat dikerah ke lokasi kejadian sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.04 petang.
Punca kejadian dan angka kerugian masih dalam siasatan.
#motosikal terbakal #Suria KLCC #Polis Dang Wangi #lelaki direman
;