Lelaki diperdaya RM300,000 dalam penipuan matawang asing

Bernama
November 14, 2014 07:39 MYT
Lelaki diperdaya RM300,000 dalam penipuan matawang asing
Seorang lelaki berusia 39 tahun mendakwa diperdaya lebih RM300,000 oleh seorang warga asing yang baru dikenalinya menerusi media sosial Facebook.
Lelaki tempatan itu melaporkan insiden terbabit kepada polis pada 11 Nov dengan mendakwa satu transaksi pemindahan matawang bank memerangkapnya untuk mempercayai urusniaga itu sebagai tulen, berikutan modus operandi yang begitu licik sehinggakan seolah-olah bukan dilakukan sindiket penipuan matawang asing.
Ketua Polis Labuan Supt Adzhar Othman berkata modus operandi seperti yang didakwa pengadu didalangi beberapa individu warga asing dan tempatan.
Berdasarkan siasatan awal, mangsa menghubungi seorang warga Amerika yang dikenalinya menerusi Facebook dan kemudian berurusan dengannya berkaitan transaksi pemindahan matawang bank berjumlah US$2 juta menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Kuala Lumpur.
Beliau berkata dalam 'perbualan Facebook' itu, mangsa diminta berjumpa seorang ejen, seorang warga British berumur 30-an, di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Ogos.
"Bagi menjayakan modus operandi itu, mangsa diminta bertemu seorang lagi warga British yang kemudian menunjukkan kepadanya sebuah beg mengandungi matawang berjumlah US$2 juta.
Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa bersetuju dengan urusniaga itu.
Adzhar berkata mangsa kembali ke Labuan pada hari berikutnya dan diminta memasukkan RM7,050 menerusi Pemindahan Dana Antarabangsa bagi proses transaksi pemindahan matawang ke dalam akaun seorang rakyat tempatan di Labuan.
Beliau berkata mangsa turut menyerahkan US$4,000 tunai kepada ejen itu di sebuah hotel, dan ejen itu memaklumkan kepadanya pemindahan matawang itu akan dilakukan pada 10 Nov.
"Bagaimanapun seorang wanita tempatan menghubungi mangsa dengan memperkenalkan dirinya sebagai pembantu ejen itu dan dia sedang dalam perjalanan untuk menyerahkan matawang terbabit.
"Apa yang memeranjatkan mangsa adalah wanita itu tiba-tiba memberitahunya dia ditahan polis dan mulai saat itu, mangsa merasakan dia terperangkap dan tertipu lalu membuat laporan polis," katanya.
#Facebook #Labuan #tipu
;