Lelaki dipercayai lemas lori dipandu terjatuh laut
Sinar Harian
September 1, 2024 17:21 MYT
September 1, 2024 17:21 MYT
PELABUHAN KLANG: Seorang lelaki dipercayai lemas setelah lori dipandunya terjatuh ke dalam laut dalam kejadian dekat Pelabuhan Barat di sini pada Ahad.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, kejadian melibatkan mangsa warga tempatan berusia 24 tahun.
"Panggilan berkaitan kejadian diterima pada jam 12.42 tengah hari sebelum empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Indah dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Kejadian melibatkan lori dipandu mangsa dipercayai terbabas sebelum terjatuh ke dalam laut," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat sedang giat dilakukan oleh anggota bomba bersama unit Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA).
"Selaman dijalankan oleh anggota PPDA di lokasi mangsa di lokasi lori dipercayai terjatuh.
"Operasi mencari dan menyelamat mangsa turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Bomba Pelabuhan Barat, Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)," katanya.
Menurutnya, setakat ini mangsa belum lagi ditemui.
"Usaha mencari dan menyelamat mangsa masih giat dijalankan, sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya. - Sinar Harian