Lelaki dipercayai kurang siuman dijumpai lemas jatuh perigi

Aida Aziz
April 8, 2018 00:25 MYT
Mayat mangsa yang ditemui di dalam perigi telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. - Gambar hiasan
Teka-teki mengenai kehilangan seorang lelaki yang dipercayai kurang siuman akhirnya terjawab apabila ditemui lemas di dalam perigi oleh penduduk kampung di Mambang Diawan, dekat sini malam tadi.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kampar berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9 malam berkenaan kejadian itu.
“Maklumat dari orang awam menyatakan mangsa dipercayai hilang sejak Jumaat dan penduduk kampung membuat pencarian sehingga berjaya menjumpai mangsa di dalam perigi.
“Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk menaikkan mangsa ke atas dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital,” katanya di sini malam tadi.
Dalam pada itu, ujarnya, mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Shariman Mohd Yusof itu tamat pada sekitar jam 10.33 malam.
#hilang #Kampar #kurang siuman #lemas #Mambang Diawan #mayat #pencarian #penduduk kampung #perigi