Lelaki dipenjara, didenda pandu kereta melulu hingga penunggang motosikal cedera
Bernama
Ogos 23, 2023 16:31 MYT
Ogos 23, 2023 16:31 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori dihukum penjara dua hari dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memandu kereta secara berbahaya dengan mengubah haluan sebelum membrek secara mengejut sehingga seorang penunggang motosikal jatuh dan cedera.
Majistret Fatin Dayana Jalil menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Ching Hong, 26, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapi dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda dan butiran kesalahan tersebut diendors (dimasukkan) pada lesen memandunya selain lesennya digantung selama lima tahun.
Lim didakwa sebagai pemandu sebuah kereta telah memandu kenderaan tersebut dengan cara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain di Jalan Syed Putra, di sini pada 9.19 pagi, 20 Ogos lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda boleh sampai RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan serta kesalahan akan diendors pada lesen memandu.
Pegawai Pendakwa Insp Mohd Nor Hafiz Mohd Wazir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda maksimum mengambil kira faktor tertuduh yang memandu sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum atas alasan menanggung keluarga selain menyesal dan tidak akan mengulangi kesalahan sama.
Semalam, tular di media sosial sebuah klip berdurasi 24 saat memaparkan tertuduh memandu kereta secara melulu dengan mengubah haluan ke lorong kedua sebelum membrek secara mengejut.
Akibat tindakannya itu, seorang penunggang motosikal dilihat gagal mengawal kenderaannya dan jatuh selepas melanggar belakang kereta tersebut dan mengalami luka di bahagian dagu, lutut dan jari kaki sebelah kanan.
-- BERNAMA
#Lim Ching Hong
#memandu kereta secara berbahaya
#mengubah laluan
#penunggang motosikal jatuh dan cedera