Lelaki dipenjara 28 tahun, 15 sebatan rogol dan amang seksual anak tunggalnya

Adie Sufian Zulkefli
November 15, 2018 17:04 MYT
Tertuduh diiringi pegawai polis di Mahkamah Sesyen Alor Setar. - Astro AWANI/Adie Sufian
Seorang duda dijatuhi hukuman penjara 28 tahun dan 15 sebatan atas tuduhan melakukan amang seksual dan merogol anak perempuannya sejak September lalu.
Tertuduh berusia 42 tahun mengaku bersalah atas stau pertuduhan melakukan amang seksual dan dua pertuduhan merogol anak tunggalnya yang berusia 12 tahun 20 hari.
Hakim Mahkamah Sesyen Alor Setar, Juraidah Abbas menjatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun dan 10 kali sebatan bagi setiap pertuduhan rogol ke atas tertuduh.
Juraidah memerintahkan hukuman penjara berjalan secara serentak bermula tarikh tangkapan pada 2 November lalu.
Dalam pada itu, di mahkamah lain, Hakim Azman Abu Hassan menjatuhi hukuman penjara selama lapan tahun dan dikenakan lima kali sebatan atas kesalahan melakukan amang seksual.
Bagaimanapun lelaki itu yang bekerja sebagai pengutip besi buruk hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 28 tahun dan 15 sebatan.
Tertuduh telah bercerai dengan isterinya sejak 10 tahun lalu dan tinggal serumah dengan mangsa serta seorang adik tertuduh yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Guar Kepayang, Pendang malam 18 September 2018 dan penghujung bulan lalu.
Pendakwaan bagi dua pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta dikenakan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan..
Bagi pertuduhan amang seksual, tertuduh didakwa melakukan perbuatan keji itu di lokasi sama pada September lalu.
Pendakwaan terhadap pertuduhan tersebut dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 25 tahun dan dikenakan tidak kurang dua sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Rehab Abdul Shukur.
#amang seksual #anak tunggal #Azman Abu Hassan #cabul #Juraidah Abbas #Mahkamah Sesyen Alor Setar #mengaku bersalah #rogol #Tertuduh
;