Lelaki dipelawa naik kereta sebelum dituduh ganggu wanita, disamun, dibelasah guna helmet

Umavathi Ramayah
September 29, 2024 18:15 MYT
Mohd Azam memberitahu, mangsa dituduh menganggu salah seorang wanita itu yang duduk di tempat duduk belakang. - Foto fail/ BERNAMA
AMPANG JAYA: Akibat terpedaya pelawaan tiga individu tidak dikenali untuk menghantar pulang ke rumah, seorang lelaki disamun dan dibelasah menggunakan topi keledar dalam kejadian di Pandan Perdana, di sini pada 22 September lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa sedang menunggu perkhidmatan e-hailing sebelum didatangi sebuah kereta yang dinaiki seorang lelaki dan dua wanita, menawarkan untuk menghantarnya pulang ke rumah.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail memberitahu, semasa berada dalam kenderaan itu, mangsa dituduh menganggu salah seorang daripada wanita yang duduk di tempat duduk belakang, sebelum suspek lelaki membelasah muka mangsa menggunakan topi keledar.
"Akibatnya mangsa terpaksa membuka pintu dan terjun dari kenderaan yang sedang bergerak, menyebabkan mangsa terseret serta mengalami kecederaan di pipi, mulut, lutut ," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Mohd Azam memberitahu, suspek kemudian melarikan telefon pintar dan wang tunai RM100 milik mangsa.
Bertindak atas laporan, beliau memberitahu, polis menahan empat invidu termasuk dua wanita secara berasingan di sekitar Ampang Jaya dan ibu negara, pada 27 dan 28 September lalu.
Katanya, kesemua mereka ditahan reman tujuh hari bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan sehingga mendatangkan kecederaan.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan.
#rompakan berkumpulan #ganggu wanita #kes samun #belasah guna helmet
;