Lelaki dilaporkan hilang ketika menyeberang sungai ditemukan lemas
Vivi Sumanti
Mac 14, 2022 12:03 MYT
Mac 14, 2022 12:03 MYT
JELI: Seorang lelaki berusia 44 yang hilang ketika menyeberang sungai Pergau dari tebing Pengkalan Nibong, Kuala Balah di sini dua hari lalu ditemukan lemas sekitar jam 11 pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim, mayat Che Mat Nasir Che Mat, ditemukan orang awam kira kira empat kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
"Pada jam11.22 pagi tadi, terima panggilan memaklumkan mangsa lemas telah dijumpai pada jam 11.05 oleh orang awam pada jarak lebih kurang empat kilometer dari tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kejadian sekitar jam 11.45 pagi 12 Mac lepas, mangsa dikatakan berenang untuk menyeberangi sungai Pergau, di Pengkalan Nibong, Kuala Balah di sini.
"Bagaimana pun rakan mangsa yang menyaksikan kejadian melihat mangsa terkapai-kapai meminta tolong dan rakan mangsa cuba menyelamatkan mangsa namun tidak berjaya," katanya.
Menurut Mohd Adni lagi, mangsa dikatakan tenggelam sekitar jarak 100 meter dari tebing.
Katanya operasi mencari mangsa dijalankan sejak hari kejadian dan semalam namun tidak menemuinya.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.