Lelaki dikhuatiri lemas selepas tidak pulang dari menjaja

Bernama
Oktober 8, 2018 21:11 MYT
Seorang lelaki dikhuatiri lemas apabila dilaporkan tidak pulang ke rumah setelah keluar menjala di sungai dalam sebuah ladang di Kota Tinggi dekat sini, semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi Faiz Ramli berkata daripada laporan diterima pihaknya, mangsa ialah Abd Farid Abdullah, 55, penduduk Kampung Makam, Kota Tinggi.
"Sebelum kejadian, mangsa dikatakan keluar berseorangan ke sungai itu untuk menjala namun tidak pulang ke rumah selepas itu, menyebabkan keluarganya bimbang lalu membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata polis kemudian menyalurkan maklumat itu kepada pihak bomba sebelum operasi mencari dan menyelamat dimulakan.
Faiz berkata operasi itu yang masih berjalan hingga kini, disertai enam anggota dan dua pegawai dari balai berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ashmon Bajah yang turut dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan dibuat keluarga mangsa pada pukul 3.45 pagi ini.
"Usaha mengesan masih berjalan dan belum ada lagi maklumat mengenai penemuan setakat 5 petang tadi," katanya.
#abd farid abdullah #kampung makam #Kota Tinggi #lemas #Memancing
;