Lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun jambatan

Mohd Zalani Md Atan
Disember 18, 2021 18:26 MYT
Seramai 15 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas dan Kuantan, dibantu pasukan SMART terlibat dalam operasi SAR. - Gambar/ Ihsan pembaca
KUANTAN: Seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental dikhuatiri lemas selepas terjun dari Jambatan Sungai Sri Damai, Kampung Sri Damai di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata dalam kejadian jam 12.25 tengah hari itu, mangsa berusia 26 tahun dikatakan menunggang motosikal ke lokasi berkenaan sebelum terjun ke sungai.
Katanya, saksi memberitahu mangsa yang tidak bekerja itu kelihatan cuba berenang ke tebing sungai namun gagal berikutan arus deras susulan hujan lebat.
"Sejurus menerima maklumat, operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan bersama anggota bomba dan sehingga kini usaha mengesan mangsa masih diteruskan. Punca sebenar mangsa terjun dari jambatan itu masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata 15 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas dan Kuantan, terlibat dalam operasi berkenaan.
Katanya operasi mengesan mangsa dilakukan secara pengesanan di permukaan air dengan menggunakan bot aluminium dibantu Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
#banjir pahang #lelaki terjun jambatan #Kuantan #Kampung Sri Damai
;