Lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyut arus bersama kereta

Bernama
Januari 3, 2021 06:05 MYT
Bomba melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa sejurus selepas menerima laporan, namun keadaan air yang semakin deras serta cuaca gelap menyukarkan operasi. - Gambar fail
KLUANG: Seorang lelaki dikhuatiri lemas apabila hilang selepas dihanyutkan arus bersama kereta Proton Waja dipandunya dalam kejadian di Batu 18, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kahang dekat Kluang, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Low Hang Seng berkata kejadian dilaporkan berlaku pada kira-kira pukul 5.30 petang ketika, Md Rajihan Junaidi, 28, sedang melalui jalan berkenaan bersama isterinya, Khairunnisa Ibrahim, 25, dengan memandu kereta.
"Mengikut keterangan dalam laporan polis yang dibuat Khairunnisa pada pukul 10.35 malam tadi di Balai Polis Kahang, dia dan suaminya (Md Rajihan) membuat keputusan untuk meredah banjir ketika sampai di laluan berkenaan sebelum kereta mereka dihanyut arus ke sebelah kanan jalan," katanya menerusi kenyataan hari ini.
BACA: Wanita 59 tahun korban pertama banjir Johor
Beliau berkata Md Rajihan sempat memecahkan cermin kereta untuk menyelamatkan Khairunnisa, dan wanita itu berjaya diselamatkan orang awam, sebelum dia sendiri hanyut dibawa arus bersama dengan kenderaannya.
Low berkata pihak bomba melancarkan operasi mencari dan menyelamat sejurus selepas menerima laporan, namun keadaan air yang semakin deras serta cuaca gelap menyukarkan operasi.
-- BERNAMA
#banjir #Kluang #hilang #wanita #bomba #lemas #kereta #polis #Jalan Batu Pahat-Mersing #Kahang #Low Hang Seng #arus deras