Lelaki dikhuatiri lemas ketika tangkap ikan di Tasik Gubir
Adie Sufian Zulkefli
Jun 30, 2022 17:25 MYT
Jun 30, 2022 17:25 MYT
SIK: Seorang lelaki dikhuatiri lemas sementara rakannya ditemui selamat selepas dipercayai terjatuh ke dalam Tasik Gubir di sini ketika menangkap ikan, hari ini.
Mangsa yang hilang dikenali pasti Othman Abdul Ghani, 49, manakala mangsa yang selamat adalah Muhammad Khairul Badri Mahyuddin, 28 dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya menerima panggilan mengatakan seorang lelaki lemas ketika memancing ikan pada jam 11.07 pagi.
“Anggota terawal sampai di lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik dan Sungai Petani terus melakukan pencarian di permukaan air.
"Selepas dikhuatiri mangsa terjatuh ke dasar tasik yang dalam itu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani dan Jitra turut dipanggil bagi melakukan pencarian di dalam air,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mohamadul Ehsan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu penduduk setempat selain menggunakan tiga bot bomba.