Lelaki dikhuatiri lemas ketika menyeberang sungai
Vivi Sumanti
Mac 12, 2022 21:51 MYT
Mac 12, 2022 21:51 MYT
JELI: Seorang lelaki berusia 44 tahun dikhuatiri lemas ketika menyeberang Sungai Pergau di sini pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim mangsa dikenali sebagai Che Mat Nasir Che Mat.
"Dalam kejadian sekitar jam 11.45 pagi tadi, mangsa dikatakan berenang untuk menyeberangi Sungai Pergau, di Pengkalan Nibong, Kuala Balah di sini.
"Rakan mangsa yang menyaksikan kejadian melihat mangsa terkapai-kapai meminta tolong. Rakannya cuba menyelamatkan mangsa namun tidak berjaya," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mohd Adni lagi, mangsa dikatakan tenggelam sekitar jarak 100 meter dari tebing.
Sepasukan anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima laporan kira-kira jam 12.15 tengah hari.
"Anggota bomba bersama tujuh orang anggota Skuba atau Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat, namun sehingga lewat petang, mangsa gagal ditemui," katanya.
Operasi mencari ditangguhkan pada pukul 630 petang dan akan di sambung esok.
#lelaki dikhuatiri lemas
#menyeberang sungai
#Sungai Pergau
#Balai Bomba dan Penyelamat Jeli
#Che Mat Nasir Che Mat