Lelaki dikhuatiri lemas ketika menjala ikan

Aida Aziz
Mei 3, 2022 17:01 MYT
Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 12.10 tengah hari. - Gambar hiasan
BATU KURAU: Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika menjala ikan di sungai bersama-sama keluarganya berdekatan Jalan Pekan, Batu 20 di sini, tengah hari tadi.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Kamaruddin Chek May, 49, dari Kampung Pondok Quin, Batu 13, di sini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 12.10 tengah hari.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kurau dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Kuala Kangsar kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
"Setibanya jentera di lokasi mendapati terdapat seorang mangsa lelaki dipercayai lemas ketika menjala ikan bersama keluarga," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut jurucakap itu lagi, operasi pencarian mangsa masih giat diteruskan di lokasi terbabit dengan operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Zaizatulniza Razali.
#lemas #Aidilfitri #Batu Kurau #bomba
;