Lelaki dikhuatiri lemas ketika menjala di Sungai Perak
Amirrul Rabbani
Jun 4, 2022 12:50 MYT
Jun 4, 2022 12:50 MYT
KUALA KANGSAR: Seorang lelaki berusia 26 tahun dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti menjala ikan di Sungai Perak di Persisir Lembah Sayong, dekat sini, malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan Balai Bomba Kuala Kangsar menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 10.35 malam.
Katanya operasi mencari dan menyelamat mangsa telah disambung semula pada jam 8.30 pagi tadi.
“Pasukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) membuat selaman dan pencarian dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
“Bot penyelamat membuat pencarian dalam jarak 3 kilometer dari lokasi kejadian,” katanya.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat mangsa membabitkan kekuatan pegawai dan anggota seramai 10 orang daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) (15) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) (4).
Operasi diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Ahmad Izuwan Zakaria.
Identiti mangsa dan punca kejadian sedang dikenal pasti.