Lelaki dikhuatiri lemas ketika memancing

Astro Awani
Mac 22, 2020 10:21 MYT
Keluarga mangsa terus ke lokasi kejadian menaiki sebuah bot dan mendapati bot mangsa berada di sungai berserta peralatan memancingnya. - Gambar hiasan
Seorang lelaki yang keluar memancing berhampiran Kampung Sungai Perahu di Sik, Kedah dikhuatiri lemas pada Sabtu malam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, operasi mencari mangsa, Muhammad Shukri Abd Waha yang berada dalam lingkungan usia 20-an sedang masih dilakukan sehingga kini.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.48 malam berhubung kejadian itu.
Berikutan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zainol Yaakob tiba di lokasi jam 10.01 malam.
Operasi disertai tujuh anggota dan dua jentera melakukan pencarian di permukaan air ekoran keadaan air deras.
Mohamadul Ehsan berkata, berdasarkan maklumat dari keluarga mangsa, Muhamad Shukri dikatakan keluar memancing seorang diri dengan menaiki sebuah bot berenjin pada jam 4 petang tadi.
Bagaimanapun katanya, mangsa tidak pulang ke rumah sehingga jam 9 malam.
Keluarga mangsa terus ke lokasi kejadian menaiki sebuah bot dan mendapati bot mangsa berada di sungai berserta peralatan memancingnya.
Bagaimanapun mangsa tidak berada di kawasan itu menyebabkan keluarganya menghubungi Bomba Sik untuk ke lokasi kejadian bagi membantu mencari dan menyelamat.
Mohamadul Ehsan berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani akan melakukan pencarian menyelam pagi esok.
#bomba #Kampung Sungai Perahu #Kedah #lemas #mangsa lemas #sik #Sungai Petani
;