Lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Sarang Buaya
Shuhada Abdul Kadir
Januari 25, 2023 20:44 MYT
Januari 25, 2023 20:44 MYT
MUAR: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang dihanyutkan arus ketika mandi-manda bersama rakan di Sungai Sarang Buaya, Parit Haji Anuar Batu 18 Ayer Hitam, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa yang berusia 20 tahun dikatakan hilang selepas terjun dari jambatan di sungai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada abang mangsa yang memaklumkan adiknya telah hanyut dibawa arus.
“Mangsa bersama dua rakannya pergi ke lokasi itu dan semasa dua rakannya yang berusia 21 dan 22 tahun terjun dari jambatan, dia turut sama terjun.
“Mangsa kemudian dikatakan secara tiba-tiba terkapai-kapai dan meminta bantuan. Dua rakannya cuba menyelamatkannya, namun gagal dan dia dihanyutkan arus deras," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, mangsa dikatakan hanyut sejauh kira-kira 100 meter sebelum tenggelam dan hilang.
“Semua agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertanan Awam (APM) telah berada di lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi mencari awal telah dijalankan dan kerja-kerja menyelam dilakukan oleh pasukan JBPM daripada Balai Bomba dan Penyelamat (JBPM) Muar,” tambahnya.