Lelaki dikhuatiri lemas ketika korek pasir di Sungai Perak
Abd Razak Mohd Ali
Disember 16, 2022 23:01 MYT
Disember 16, 2022 23:01 MYT
KUALA KANGSAR: Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika menjalankan kerja-kerja mengorek pasir di Sungai Perak, dekat Kampung Kubang Pekan, dekat sini, hari ini.
Mangsa berusia 38 tahun itu dikatakan terjatuh ke dalam sungai, dan menurut orang kampung yang menyaksikan kejadian itu, mangsa dilihat terkapai-kapai sebelum hilang dibawa arus.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mereka menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 11.17 pagi.
“Anggota bomba melakukan pencarian mangsa secara pencarian di permukaan air menggunakan sebuah bot bomba dengan bantuan sebuah bot polis serta empat bot penduduk kampung,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, pencarian secara operasi menyelam turut dibuat dilakukan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dengan pencarian dilakukan sehingga pada kedalaman antara lima hingga enam meter.
Katanya lagi sehingga jam 7.50 malam ini, mangsa masih belum ditemukan dan operasi carilamat ditangguhkan pada jam 7.23 malam.
Operasi carilamat akan disambung semula pagi esok.