Lelaki dikhuatiri lemas ketika jala udang, ditemukan terapung
Abd Razak Mohd Ali
Mac 16, 2022 13:43 MYT
Mac 16, 2022 13:43 MYT
TELUK INTAN: Lelaki yang dikhuatiri lemas selepas hilang dibawa arus ketika menjala udang berhampiran Pulau Pasir di sini semalam, ditemukan dalam keadaan terapung oleh pasukan penyelamat pagi ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dalam kenyataan berkata mangsa ditemukan dalam keadaan terapung sejauh lima meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.
"Pada jam 11.13 pagi hari ini, komander operasi berkata Pasukan Bomba Sukarela Teluk Intan telah menemukan mangsa dalam keadaan terapung sejauh lima meter dari lokasi dipercayai terjatuh.
"Mangsa dibawa ke tebing dan dibawa naik ke darat, seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya pada Rabu.
Terdahulu media melaporkan seorang lelaki yang sedang menjala udang dikhuatiri lemas selepas hilang dibawa arus ketika air pasang di Sungai Perak berhampiran Pulau Pasir, pada Selasa.
Kejadian sekitar jam 2.43 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 37 tahun bersama seorang rakannya turun ke sungai untuk menjala udang galah di atas tepi beting pasir.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, berdasarkan keterangan, ketika mangsa turun, kedalaman air sudah berada pada paras dada.
Beliau berkata, ketika kejadian rakan mangsa cuba mengangkat mangsa ke atas, namun tidak berjaya kerana tali jala yang masih terikat di tangan mangsa selain keadaan arus kuat hingga menyebabkan mangsa terlepas daripada pegangan.