Lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Golok
Vivi Sumanti
November 13, 2018 15:47 MYT
November 13, 2018 15:47 MYT
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Rantau Panjang bersama polis Thailand masih menjalankan operasi mencari seorang lelaki berusia 40 tahun yang terjatuh di Sungai Golok malam tadi.
Operasi mencari mangsa yang dikenali sebagai Md Sayuti Nawi, 40 tahun, dari Kampung Bakat, Rantau Panjang dimulai pagi tadi selepas menerima laporan malam tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Mohd Adni Ibrahim pihaknya dengan kekuatan lapan anggota menjalankan operasi mencari mangsa bermula awal pagi tadi.
"Pihak polis Thailand turut membantu dengan menghantar dua buah bot dan unit penyelam untuk mencari mangsa, namun keadaan arus Sungai Golok yang deras menyukarkan pencarian" katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam kejadian sekitar jam 8.30 malam tadi, mangsa dipercayai terjun ke sungai berkenaan selepas ditahan pihak berkuasa Thailand, di Pengkalan Bawah Gertak, di sini.
Mangsa dikatakan cuba melepaskan diri selepas di tahan pihak berkuasa dengan terjun ke dalam sungai untuk menyeberang ke Pengkalan Parking, Rantau Panjang.
Mangsa berkerja sebagai pemandu motosikal tambang yang berulang alik dari Rantau Panjang ke Sungai Golok.
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#lelaki
#lemas
#Malaysia
#mangsa
#Md Sayuti Nawi
#operasi
#polis thailand
#Rantau Panjang
#Sungai Golok