Lelaki dikhuatiri lemas di Pantai Mek Mas

Bernama
April 21, 2024 23:35 MYT
JBPM Kelantan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kehilangan lelaki berusia 28 tahun itu pada 7.15 malam. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Seorang lelaki dikhuatiri lemas di Pantai Mek Mas, Kampung Kedai Buloh, di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kehilangan lelaki berusia 28 tahun itu pada 7.15 malam.
Beliau berkata tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu digegaskan ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat mangsa.
"Apabila tiba di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah bot telah terdampar di tepi pantai bersama barangan milik mangsa," katanya ketika dihubungi malam ini.
Menurut jurucakap itu, mangsa disyaki terjatuh ke laut manakala operasi mencari dan menyelamat di kawasan terlibat masih dijalankan.
-- BERNAMA
#Pantai Mek Mas #JBPM #Kelantan #lelaki dikhuatiri lemas
;