Lelaki dikhuatiri hilang terjun jambatan

Azee Shafy
Mac 27, 2022 18:59 MYT
Kejadian kira-kira jam 4 petang itu disedari orang awam yang sedang memancing di sungai tersebut. - JBPM
BERA: Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas dipercayai terjun ke dalam Sungai Pahang di Jambatan Guai di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira jam 4 petang itu disedari orang awam yang sedang memancing di sungai tersebut.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Pahang berkata, pihaknya ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.05 petang.
"Berdasarkan maklumat awal, lelaki tersebut berusia 28 tahun dan dipercayai menaiki sebuah kenderaan ke jambatan itu.
"Seorang penduduk yang sedang memancing di Sungai Pahang berdekatan jambatan melihat kejadian itu, dan segera menghubungi talian kecemasan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Katanya, seramai 10 anggota terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat yang bermula pada jam 4.37 petang.
Turut membantu anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung berdekatan.
"Operasi mencari dan meyelamat dipecahkan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan mencari di sungai menggunakan bot fiber, manakala lagi satu kumpulan mencari di sekitar tebing sungai.
"Usaha mencari masih lagi diteruskan sehingga kini," katanya.
#terjun jambatan #Sungai Pahang #JBPM #jambatan guai
;