Lelaki dikhuatiri hilang, ditemui lemas tanpa pakaian
Aida Aziz
November 2, 2019 16:31 MYT
November 2, 2019 16:31 MYT
Seorang lelaki yang dikhuatiri hilang sejak semalam (Jumaat), ditemui lemas di tebing sungai Kampung Pasir Salak, di sini hari ini.
Mangsa, Mohamad Khairi Salleh, 33, dari Kampung Telok Sena, Lambor Kiri, bekerja sebagai buruh, ditemui tanpa pakaian dalam keadaan tertiarap di dalam air, kira-kira 8 kilometer jarak dari rumah dan lokasi dia ditemui.
Menurut Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Suprintendan Barudin Wariso, mangsa menghidap sakit mental dan sedang menerima rawatan dari Hospital Teluk Intan.
"Pada 31 Oktober lalu, mangsa telah menerima suntikan rawatan mental dari pegawai perubatan Hospital Teluk Intan dan sebelah petangnya setelah habis kerja, mangsa balik rumah dan ibunya mendapati mangsa dalam keadaan gelisah dan berpeluh-peluh.
"Mangsa kemudian mandi di bilik air, selesai mandi lebih kurang pukul 7.30 malam, menurut ibunya, mangsa dalam keadaan bertuala keluar rumah melalui pintu belakang dan tidak pulang pada malam berkenaan.
"Usaha mengesan mangsa diteruskan pada 1 November dari pagi hingga petang, tetapi tidak jumpa sehinggalah hari ini, mangsa dijumpai mati lemas dalam sungai,"katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Katanya lagi, hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan luka akibat perbuatan jenayah dan pengecaman mayat juga telah dibuat oleh ibu mangsa, melalui satu gelang getah yang dipakai mangsa.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar turut bergegas ke lokasi bagi membantu membawa naik mangsa ke daratan.