Lelaki dikhuatiri dibaham buaya ketika cuci bot

Sinar Harian
Disember 2, 2024 19:55 MYT
Pencarian dilakukan sejauh dua kilometer di kawasan hulu dan muara sungai oleh pasukan bomba bersama agensi bantuan yang lain serta penduduk kampung.
KINABATANGAN: Seorang lelaki hilang dikhuatiri dibaham buaya ketika mencuci bot bersama anaknya dalam kejadian di kawasan sungai Kampung Sri Ganda di sini pada Ahad.
Kisman Baco, 36, disedari hilang oleh anaknya sebelum dia memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga yang kemudian menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.35 malam.
Katanya, seramai empat anggota dihantar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 100 kilometer dari BBP Kinabatangan.
"Menurut saksi iaitu anak mangsa, ketika kejadian dia dan bapanya sedang mencuci bot di tepi sungai dan dia menyedari bapanya tiba-tiba tiada berhampiran dengannya.
"Pasukan bomba ke lokasi kejadian keesokan paginya memandangkan jarak ke lokasi yang jauh dan sebaik tiba, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa segera dilakukan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Nurul Azlan berkata, pencarian dilakukan sejauh dua kilometer di kawasan hulu dan muara sungai bersama agensi bantuan yang lain serta penduduk kampung.
"Bagaimanapun, mangsa tidak ditemui sehingga kini dan operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 5 petang tadi.
"Operasi akan disambung esok dan maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya. - Sinar Harian
#serangan buaya #Kampung Sri Ganda #Sabah #dibaham buaya
;