Lelaki dijatuhi hukuman mati selepas bersalah bunuh teman wanita
Astro Awani
Februari 4, 2021 13:31 MYT
Februari 4, 2021 13:31 MYT
JOHOR BAHRU: Seorang bekas pemandu bas kilang dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya lima tahun lalu.
Keputusan dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Dr. Shahnaz Sulaiman terhadap tertuduh, M. Siva Sangker, 37, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Keputusan itu dibacakan dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah.
Dr. Shahnaz dalam penghakimannya berkata hujah pembelaan terhadap tertuduh tidak berjaya menimbulkan keraguan kepada kes pendakwaan.
Katanya pembelaan terbabit sekadar penafian semata-mata.
Tertuduh sebelum ini menafikan berada di tempat kejadian pembunuhan sebaliknya mengatakan dia berada di Masai.
Selain itu tertuduh turut menafikan mempunyai motif untuk membunuh kerana beliau dan si mati adalah kawan baik.
Menurut hakim lagi, tiada saksi yang melihat tertuduh berada di Masai seperti dakwaannya.
Pembelaan ini juga tidak ditimbulkan semasa kes pendakwaan. Susulan itu, mahkamah berpendapat pembelaan terhadap tertuduh hanyalah penafian semata-mata dan bersifat 'afterthought'.
Malah kata hakim, keterangan isteri dan bapa saudara tertuduh juga tidak menyokong keterangannya. Kedua-dua saksi ini juga tidak dapat mengesahkan keberadaan tertuduh semasa kejadian pembunuhan berlaku.
Seramai 23 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dikemukakan sepanjang perbicaraan berlangsung yang bermula Disember 2016.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas V. Durga Devi, 23, di Jalan Kancil 1, Taman Scientex, Pasir Gudang di sini, pada pukul 12.15 tengah hari, 21 November 2016.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Suriani Ujang.
Manakala tertuduh diwakili peguam, G.K Sritharan.
#bunuh kekasih
#mahkamah
#Johor Bahru
#hukuman gantung sampai mati
#bekas pemandu bas kilang
#Dr Shahnaz Sulaiman
#masai