Lelaki dihukum penjara 30 tahun bunuh bekas Ketua MCA Marang

Bernama
Julai 9, 2024 09:50 MYT
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh Ong (tengah) ditangkap pada 23 Julai 2021. - Bernama
KUALA TERENGGANU: Bekas anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) hari ini dihukum penjara 30 tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh dengan menembak mati bekas Ketua MCA Bahagian Marang Fong Swee Fuan tiga tahun lepas.

Ringkasan AI
  • Bekas anggota RELA dihukum penjara 30 tahun atas tuduhan membunuh bekas Ketua MCA Marang tiga tahun lalu.
  • Ong Chow Lee juga dihukum 13 tahun penjara kerana cuba membunuh anak saudara mangsa.
  • Kedua-dua hukuman itu bermula pada tarikh penangkapan pada 23 Julai 2021 di Marang, Terengganu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hassan Abdul Ghani turut menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun terhadap Ong Chow Lee, 59, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan cubaan membunuh anak saudara Fong, Teo Hock Beng yang cedera ditembak di bahagian tangan kiri.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 23 Julai 2021.
Ong didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di belakang tokong Cina di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang pada 1.55 tengah hari, 23 Julai 2021 mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Azizan Abdullah, Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah dan Mohd Khairuddin Idris, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Azlan Shah Mohd Allias, Abdul Hayyi Salim dan Diyana Ibrahim.
Mohd Khairuddin berkata tertuduh wajar dikenakan hukuman mati kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius iaitu menyebabkan kematian Fong yang parah ditembak di dada yang ketika itu berusia 65 tahun dan mendatangkan kecederaan kepada Teo yang berumur 45 tahun.
Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya mahkamah memutuskan untuk menjatuhkan hukuman penjara terhadap Ong, pihak pendakwaan memohon agar hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan berjalan secara berasingan dari tarikh tangkap.
Beliau juga menegaskan pengakuan bersalah bukan suatu diskaun secara automatik untuk mahkamah menjatuhkan hukuman yang lebih ringan terhadap tertuduh, sekali gus mahu tertuduh dijatuhkan hukuman mati.
Peguam Mohd Azlan Shah dalam rayuan memohon agar Ong dikenakan hukuman lebih ringan atas alasan umur tertuduh yang menghampiri 60 tahun selain pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.
Beliau berkata pengakuan bersalah Ong membuktikan penyesalan dan keinsafan lelaki itu yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau yang lain serta kerjasama baik yang diberikannya sepanjang siasatan dijalankan pihak berkuasa.
Mohd Azlan Shah juga memohon agar hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan berjalan serentak.
-- BERNAMA
#kes bunuh #ketua MCA bahagian Marang #tembak mati #hukuman penjara