Lelaki dihukum mati kerana 'seludup' Squid Game ke Korea Utara
Agensi
November 25, 2021 13:34 MYT
November 25, 2021 13:34 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang 'menyeludup' salinan siri drama “Squid Game” ke Korea Utara dijatuhkan hukuman mati selepas pihak berkuasa negara itu mengesan terdapat pelajar sekolah menengah menonton rancangan tersebut.
Agensi berita bebas, Radio Free Asia (RFA) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) melaporkan, siri itu diseludup masuk menggunakan pemacu pena (pendrive) dan kini penyeludup itu bakal berdepan hukuman tembak mati.
“Seorang pelajar yang membeli ‘pendrive’ itu menerima hukuman penjara seumur hidup manakala enam yang lain yang menonton rancangan itu dijatuhi hukuman kerja berat selama lima tahun.
“Guru serta pentadbir sekolah telah dipecat dan dibuang kerja untuk bekerja di lombong terpencil,” menurut laporan itu yang memetik sumber.
Pada Disember 2020, Korea Utara meluluskan akta “Elimination of Reactionary Thought and Culture” yang melarang kemasukan dan penyebaran bahan budaya seperti filem, drama, muzik dan buku di negara itu.
Perbuatan itu bertujuan untuk menghalang penyebaran media dari Korea Selatan serta AS dan mereka yang didapati mengedar atau menggunakannya boleh dihukum.
Media sebelum ini melaporkan, pada April lalu, seorang lelaki telah dihukum bunuh secara terbuka kerana menjual pemacu dan cakera padat (CD) yang mengandungi bahan Korea Selatan.
“Squid Game” khususnya, telah menjadi sumber kemarahan dalam pemerintahan diktator.
Leman web propaganda Korea Utara, Arirang Meari mengecam drama survival itu dan mengatakan ia menggambarkan "realiti menyedihkan masyarakat Korea Selatan yang kejam."
Laporan RFA turut menyatakan kebimbangan orang ramai terhadap nasib pelajar sekolah menengah dan lebih ramai orang dijangka terlibat dalam penyiasatan itu.