Lelaki dihanyutkan arus deras Sungai Perak ditemukan lemas

Amirrul Rabbani
Jun 5, 2022 10:38 MYT
Mayat mangsa ditemukan terapung dan berada di berhampiran tebing sungai pada jam 7.19 pagi. -JBPM Perak
KUALA KANGSAR: Seorang lelaki yang dikhuatiri dihanyutkan arus deras semasa menjalankan aktiviti menjala ikan di Sungai Perak ditemukan lemas kira-kira 2 kilometer dari kawasan ‘staging’ pasukan penyelamat, pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak memaklumkan mayat mangsa ditemukan terapung berhampiran tebing sungai pada jam 7.19 pagi.
“Kedudukan mangsa adalah 2 kilometer dari kawasan ‘staging’ pasukan penyelamat untuk operasi ini.
“Mangsa telah disahkan maut oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambahnya operasi mencari dan menyelamat mangsa membabitkan kekuatan anggota dan pegawai seramai 10 daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) (15), Angkatan Pertahanan Awam (4) serta bantuan bot penduduk kampung.
Operasi yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Ahmad Izuwan Zakaria itu turut menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM.
Terdahulu, mangsa, Mohamad Nor Amirulhamzah Jaafar, 26, dikhuatiri lemas sewaktu menyeberangi Sungai Perak dekat Kampung Sayong Lembah, di sini, pada Jumaat malam, semasa melakukan aktiviti menjala ikan berdekatan Jambatan Sultan Abdul Jalil.
Mangsa yang juga seorang warden di sebuah pusat rawatan dan pemulihan di Padang Rengas menjalankan aktiviti berkenaan bersama pengurus dan tiga penghuni pusat tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa bersama salah seorang penghuni mengambil keputusan untuk berenang ke seberang sungai selepas gagal memperoleh ikan.
Katanya mangsa bagaimanapun terus dihanyutkan arus deras manakala seorang penghuni itu sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai.
#sungai perak #Mohamad Nor Amirulhamzah Jaafar #menjala ikan #Kampung Sayong Lembah
;