Lelaki didenda RM300 ceroboh, lintas landasan LRT

Bernama
Disember 19, 2023 18:36 MYT
Jangan lintas landasan! Pertuduhan boleh dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki didenda RM300 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menceroboh dan melintas landasan di Transit Aliran Ringan (LRT) Pudu, semalam.
Majistret Illi Marisqa Khalizan menjatuhkan hukuman itu terhadap Benard Chua, 20, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut di Platform Stesen LRT Pudu di sini pada 6.47 petang, 18 Disember.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara tujuh hari jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.
Timbalan Pendakwa Raya Zuhairi Osman memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh, namun Chua merayu hukuman ringan terhadapnya.
-- BERNAMA
#ceroboh LRT #lrt pudu #mahkamah #lintas landasan
;